Tuesday 2 September 2014

Sejarah Perusahaan

Industri Keropok Tronoh atau nama sebelumnya Mohd Azmi Enterprise telah mula menjalankan aktiviti membuat keropok sejak tahun 1993. Perusahaan ini dicetuskan oleh En Mohd Azmi b Ibrahim dan isterinya Pn Rokiah bt Mohamad dengan bermodalkan wang sendiri iaitu sejumlah RM 500.00. Pada tahun 2001, Industri Keropok Tronoh telah menjadi anak angkat Jabatan Perikanan Malaysia dan mula berkembang maju. Pada asalnya pembuatan keropok adalah untuk jualan sendiri untuk dipasarkan di pasar malam dan pasar pagi di sekitar daerah Perak Tengah.


Kilang baharu yang telah mula beroperasi pada tahun 2011

Tetapi bermula tahun 1999, Industri Keropok Tronoh telah mula menjadi pembekal keropok lekor dan keropok kering. Pasarannya meliputi seluruh Negeri Perak dengan menggunakkan agen pengedar di setiap daerah dan kawasan. Pada bulan April 2011, Industri Keropok Tronoh telah berpindah ke kilang baru yang lebih luas dan lebih sistematik dengan bantuan geran pemadanan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia. Dengan adanya bantuan ini Industri ini dapat berkembang dengan lebih maju selaras dengan misi dan visinya disamping dapat menghasilkan produk yang lebih berkualiti untuk dipasarkan ke seluruh Malaysia dan seterusnya ke luar negara.

Maklumat Pemilik

Encik Mohd Azmi Bin Ibrahim dilahirkan pada tanggal 04 Januari 1963 dan telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Tumpat, Kelantan. Beliau kemudiannya telah melanjutkan pelajaran di ILP Kuala Lumpur di dalam bidang Automotif Jentera Berat. Selepas tamat latihan, beliau membuka bengkel sendiri untuk beberapa tahun. Beliau telah berhijrah ke Perak dan menamatkan zaman bujangnya dengan mengahwini gadis pilihannya sendiri yang berasal dari negeri tersebut.

En. Mohd Azmi (berbaju hijau) bersama tetamunya

Bagi menyara keluarga, beliau memulakan perniagaan secara kecil dengan menjaja buah-buahan di pasar malam.Malangnya perniagaan beliau tidak menguntungkan dan terpaksa berhenti berniaga. Beliau mengambil keputusan untuk bekerja sebagai mekanik di Pulau Pinang bagi menampung isteri dan anaknya. Selang beberapa tahun, setelah cukup modal memulakan perniagaan, beliau kembali berniaga di pasar malam dengan menjual keropok lekor dan keropok kering. Beliau mengambil Keropok Lekor dan Keropok Kering dari Negeri Terengganu dan Kelantan dan menjualnya di sekitar Negeri Perak. Pada tahun 1993, beliau telah mula membuat keropok sendiri secara kecil-kecilan.